
NAMA : NOR ARZIAN BINTI ABD WAHAB
NO. MATRIK : A138625
KURSUS : SKAD1273 RERUANG DAN PEMBANGUNAN
NAMA PENSYARAH : PROF. MADYA ABDUL HADI BIN HARMAN SHAH
TUGASAN 1 : Adakah saya orang bandar atau
orang kampung? Apa yang saya paling suka dan paling ingat tentang tempat saya?
Nama saya Nor Arzian binti Abd
Wahab. Saya berasal daripada Negeri Kelantan. Saya dilahirkan pada 15 Februari
1982 di sebuah kampung yang dikenali sebagai Kampung Kubang Telaga. Kampung
saya terletak di Daerah Bachok, Kelantan. Saya adalah orang kampung dan sememangnya anak kampung di mana saya
dilahirkan, dibesarkan dan mendapat pendidikan awal di kampung.
Saya mempunyai seorang ibu dan enam
orang adik beradik. Ayah saya telah meninggal dunia pada tahun 1997. Saya
mempunyai 3 orang adik beradik lelaki dan 3 orang adik beradik perempuan.
Tetapi sekarang hanya tinggal 2 orang adik beradik perempuan kerana kakak saya
telah meninggal dunia pada 11 Julai 2012. Kami sekeluarga amat bersedih dengan
dugaan ini dan hanya dengan iringan doa semoga rohnya ditempatkan di kalangan
orang-orang beriman dan solehah.
Ruang boleh dimaksudkan sebagai
sesuatu tempat di mana mempunyai ruang sosial dan perkongsian ruang itu
sendiri, bagaimana ruang digunakan dalam produksi masyarakat dan sosial bagi
penduduk setempat. Tempat yang paling saya suka di kampung saya adalah Pantai.
Pantai tersebut dipanggil dan dikenali sebagai Pantai Irama. Ia terletak di
Daerah Bachok Negeri Kelantan. Pantai Irama menjadi tempat umum bagi penduduk
setempat dan juga tetamu dari negeri lain yang bercuti ke Kelantan. Ia menjadi
tempat masyarakat dan orang kampung menjalinkan hubungan sosial melalui
pelbagai cara, agama dan budaya.
Pantai Irama mempunyai mercutanda
yang tersendiri. Masyarakat dan penduduk setempat akan masuk melalui pintu
gerbang ke Pantai Irama. Pintu gerbang yang besar senang dilihat dan dapat
memudahkan orang ramai mengenalpasti pantai tersebut. Pantai Irama terletak di
jalan besar dan menjadi laluan utama masyarakat setempat di tempat tersebut.
Kawasan tersebut selalu dikunjungi orang ramai yang terdiri daripada pelbagai
lapisan masyarakat di antaranya Melayu, Cina, India, Siam dan sebagainya.
Apabila hari minggu iaitu Jumaat dan Sabtu, ramai keluarga yang datang bersama
keluarga menikmati udara segar di pantai irama. Mereka membawa makanan dan
permainan untuk anak-anak mereka menghabiskan masa sambil beristirehat bersama
keluarga.
Pada
hari Jumaat biasanya pesisir pantai dipenuhi dengan keluarga dan pengunjung
yang beristirehat dan bermandi manda di pantai irama. Pantai Irama terkenal
dengan Pesta Pantai. Pesta Pantai akan diadakan setiap tahun, biasa pada pertengahan
atau akhir tahun. Pesta pantai menjadi acara wajib yang sentiasa ditunggu-tunggu
oleh masyarakat dan penduduk setempat. Bagi sesetengah penduduk yang bekerja di
negeri lain, mereka akan mengambil peluang bercuti untuk balik ke kampung
apabila tibanya Pesta Pantai. Masyarakat yang datang bukan sahaja terdiri
daripada penduduk daerah Bachok, malah semua orang kampung dari Pekan Jelawat, Pasir
Puteh, Tanah Merah, Peringat, Pasir Mas, Kota Bharu akan datang ke Pantai
Irama.
Pelbagai
aktiviti menarik yang diadakan sepanjang Pesta Pantai. Permainan tradisional
sentiasa menarik perhatian dan paling menyeronokkan. Antaranya adalah permainan
gasing, layang-layang, tarik tali, bola pantai, membuat ketupat daun palas, congkak,
lari dalam guni dan sebagainya. Bagi kanak-kanak pula terdapat permainan
mewarna, tiup air dalam belon, membawa bola dalam sudu dan banyak lagi. Setiap
pengunjung yang datang akang berpuas hati dengan pelbagai acara yang
dipertandingkan. Mereka juga berpeluang mendapat cabutan bertuah dan pelbagai
hadiah menarik bagi acara sukan pantai yang dipertandingkan.
Saya
amat bertuah kerana dilahirkan di kampung dan dapat merasai nikmat hidup di
kampung. Saya tidak akan lupa asal usul saya. Saya sentisa ingat kampung saya.
Saya juga selalu balik kampung apabila mendapat cuti panjang atau sekiranya ada
kenduri di kampung. Saya paling suka Pantai Irama dan menjadi tempat yang
sentisa diingati kerana terdapat pertembungan budaya dan sosial di mana perkongsian
amalan dan cara hidup penduduk yang berbeza bagi setiap kawasan dan tempat
walaupun dalam negeri yang sama. Semoga nikmat keamanan ini sentiasa dikekalkan
untuk kemakmuran dan kebahagiaan generasi akan datang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan